Soalan:
Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling kawasan rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam sebuah taman atau kampung, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa `jiran sepakat membawa berkat’. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Salah satu langkah yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara sesama jiran tetangga yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi mereka dengan lebih dekat lagi. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa `tak kenal maka tak cinta’. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan persekitaran kawasan taman perumahan, menyediakan hidangan untuk majlis kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan baik serta mesra sesama jiran tetangga.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa menyambut sesuatu perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman hidup dengan secara lebih dekat. Seterusnya melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli masyarakat akan berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sesama jiran sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya maka majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan suatu acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi sesama jiran tetangga.
Seterusnya, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.’
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat haruslah secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan mungkin akan mengancam keselamatan nyawa dan harta benda. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ‘ibarat aur dengan tebing’ yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke wad hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa juga’. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlulah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat agar melahirkan sebuah masyarakat madani yang harmoni dan aman sentosa. Hal ini amatlah bersesuaian dengan wawasan negara dalam mendepani zaman dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain semakin menebal dalam kalangan masyarakat seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu `bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.’ Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. Ada pepatah Melayu yang mengatakan bahawa `bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Hal ini amatlah bersesuaian dengan pepatah Melayu ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Jadi dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.
Karangan Jenis Pendapat
LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN KADAR KEMALANGAN JALAN RAYA DI MALAYSIA
ISU nahas atau kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang sering menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya yang banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja satu kerugian kepada keluarga mangsa dan rakan¬rakannya, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada negara. Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan, serta latihan pekerjaan.
Sebenarnya pelbagai ‘modus operandi’ telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Ops Pacak, Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran dan termasuk penguatkuasaan dijalankan merupakan antara prakarsa kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. Ops Sikap yang telah diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini misalnya lebih menumpukan kepada sikap pengguna jalan raya yang menjadi faktor kemalangan dan peningkatan kadar kematian di jalan raya terutamanya pada musim perayaan. Namun, isu yang dilihat ialah masih banyak jumlah kemalangan dicatatkan dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu di Malaysia yang semakin menggawatkan lebih-lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaan saban tahun. Angka korban kematian bukan sahaja tidak pernah menurun malah pemandu-pemandu semakin rakus menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba, selain mengambil kesempatan untuk menguji kemampuan kenderaan masing-masing semasa memecut.
Usaha mensifarkan kemalangan jalan raya bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata. "Tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini." Pepatah Melayu ini sangat sinonim dengan sesiapa sahaja yang bertekad untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Hal ini juga seolah¬-olahnya merupakan kenyataan beramaran bahawa sekiranya seseorang mahukan sesuatu, mereka akan melakukan apa¬-apa sahaja. Manusia, sekiranya dalam keadaan terpaksa boleh melakukan sesuatu yang luar biasa. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil. Menurutnya, keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Enam belas menara pemerhati polis telah beroperasi di seluruh negara bermula penghujung bulan Jun tahun 2009 dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut. Dengan kehadiran polis trafik yang dapat dilihat dari jarak jauh oleh pengguna jalan raya di semua menara berkenaan akan memberi kesedaran dan mengingatkan pengguna supaya memandu dengan lebih berhemah dan bertimbang rasa. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata sebanyak tiga buah menara tinjau yang dibina oleh Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad sebelum ini telah membuktikan bahawa Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPK1R) dapat membantu memberi kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi berkesan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Berdasarkan itu, pihak Cawangan Trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memanjangkan idea pembinaannya yang dicetuskan Perdana Menteri dan diluluskan Kabinet ke jalan persekutuan berdasarkan statistik bahawa kadar kemalangan yang agak tinggi di situ. Senarai lokasi menara pemerhati polis selain di Ayer Keroh ialah di Km. 33 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km. 81 Jalan Jerangau-Jabor, Km. 51 Jalan Alor Setar-Butterworth, Km. 85.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Km. 29.3 Jalan Klang-Teluk Intan, Km. 15 Jalan Tampin-Segamat, Km. 36 Jalan Kuantan-Kemaman, Seksyen 57 Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, Km. 184 Jalan Johor Baharu-Seremban, Km. 83 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Km. 62 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jelutong Expressway; Km. 40 Jalan Sibu-Bintulu, Km. 30 Jalan Kuching-Serian, dan Km. 4.8 Jalan Tuaran, Sabah. Laluan motosikal di seluruh negara, tidak dinafikan bahawa setiap kali Ops Sikap diadakan, tumpuan yang lebih diberikan kepada penunggang dan pembonceng motosikal kerana peratusnya sangat tinggi, iaitu sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan jumlah kes kemalangan yang direkodkan.
Lantaran itu, pihak kerajaan akan membina lorong khas motosikal di jalan-jalan persekutuan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang banyak melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu membabitkan pembinaan lorong motosikal sejauh 323 kilometer dengan kos kira-kira RM140 juta. Projek ini akan dibina di jalan-jalan persekutuan, iaitu jalan raya yang dibina dan diselenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan. Tumpuan projek pembinaan lorong khas itu akan diberikan kepada jalan raya yang dikenal pasti sebagai kawasan yang sering berlaku kemalangan. Perangkaan nahas jalan raya pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 3,693 penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia dengan jumlah kes kematian paling tinggi berlaku di jalan-jalan persekutuan, iaitu sebanyak 1,316 kes. Pihak kerajaan yakin dengan adanya lorong khas itu dapat mengurangkan kadar nahas di negara ini khususnya kes-kes kemalangan maut.
Selain usaha pihak kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan ialah melalui pendidikan. Tidak ada yang tidak kena dengan kempen atau ops yang dilancarkan setakat ini, cuma pemandu di Malaysia ini perlu diberikan pendidikan, barangkali seawal mungkin. Melalui pendidikan sahaja, sikap pemandu di Malaysia ini berupaya diperbetul. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih akan dapat membantu memberi kesedaran dan pandu arah untuk menjadi pemandu yang berhemah di peringkat yang lebih awal lagi. Begitu juga dengan terlaksananya program keselamatan jalan raya melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia juga diharapkan akan menjadi pemangkin bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.
Analisis dalam beberapa Ops Sikap sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain merupakan punca peningkatan kemalangan. Dengan kata lain, pemandu secara umumnya hanya mematuhi peraturan atau bersikap hipokrit apabila ada kelibat polis dan bukan kerana sikap untuk keselamatan jalan raya. Peraturan jalan raya sepatutnya dipatuhi atas dasar sedar tentang kebaikannya dan bukan takut daripada disaman pihak berkuasa. Sebenarnya, kesediaan untuk mematuhi peraturan, arahan, dan barisan tidak memerlukan kita berpendidikan tinggi dan tidak pula menjatuhkan apa-apa juga nilai baik yang ada dalam diri kita. Kempen Keselamatan Jalan Raya bukanlah untuk menyusahkan, tetapi memberi faedah kepada pengguna. Segala peraturan jalan raya, serta papan-papan tanda amaran adalah sebagai panduan bagi memelihara keselamatan jalan raya untuk semua pemandu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mahu kaedah pemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semula bagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan. Sistem tersebut berupaya beroperasi dengan baik sekiranya diselenggarakan dengan betul. Malah, kaedah pemberian mata 'demerit' itu mampu mengurangkan masalah kemalangan jalan raya kerana lesen pemandu yang kerap melakukan kesalahan jalan raya tidak dibenarkan diperbaharui. Pada awal tahun ini, PDRM meminta supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghidupkan kembali kaedah pemberian mata "demerit" kepada pesalah jalan raya bagi membendung jumlah kemalangan maut yang semakin serius sehingga mencecah 6,000 kematian setiap tahun dan mengakibatkan negara kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Nooryah Md. Anvar memberitahu, sistem pemberian mata demerit bagi setiap kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pemandu itu terbukti mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (KEJARA) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Selagi JPJ tidak menghidupkan semula sistem itu, pihaknya tidak dapat menguatkuasakan penggunaan kaedah berkenaan yang dilihat sebagai kaedah terbaik menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurutnya di Paris, jumlah kematian akibat kemalangan hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.
Automatik (AES) yang antaranya berfungsi sebagai perangkap had laju dan merakam pelbagai kesalahan trafik akan dipasang di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan sekitar Kuala Lumpur, serta Shah Alam. Pemasangan kamera itu yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 2010. Di bawah fasa pertama dan kedua, Unit Kamera Pengawasan Bergerak telah diwujudkan untuk memantau pemandu dan pengguna jalan raya yang memandu dengan laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Di bawah fasa ketiga, kamera pengawasan akan mengawasi aspek kesalahan lalu limas yang lain seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan. Pemasangan sistem yang dilaksanakan oleh JPJ itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu limas dan sebagai bukti pendakwaan. AES ialah antara empat projek yang dicadangkan kementerian itu di bawah Pelan Induk Keselamatan Jalan Raya selama lima tahun (2006-2010). Projek lain pula membabitkan program dalam pendidikan, Penguatkuasaan, kejuruteraan, dan perlindungan alam sekitar. Pengarah Penguat Kuala JPJ, Salim Parlan berkata, beberapa kawasan dipilih untuk fasa pertama AES sebelum diperluas ke seluruh negara. Fasa pertama AES akan mula digunakan menjelang musim perayaan tahun ini. AES akan diletakkan di lorong-lorong kenderaan awam di Kuala Lumpur, lampu-lampu isyarat di seluruh Shah Alam dan juga di kawalan perangkap had laju di Lebuh Raya Utara Selatan. Melalui AES, kamera mengawasi setiap pergerakan kenderaan dan mencatat kelajuan dan maklumat itu dihubungkan ke pusat kawalan untuk mengenal pasti kenderaan yang melakukan kesalahan lain lintas. Anggota JPJ yang bertugas di pusat kawalan itu nanti akan memproses gambar yang diterima itu bagi mengenal pasti identiti dan alamat pemandu. Sistem itu terbukti berkesan dalam mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas itu. Negara-negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat, Eropah, China, dan Korea Selatan telah lama menggunakan sistem ini dalam usaha mendisiplinkan pemandu dan pengguna.
Secara tuntas, pihak polis atau penguat kuasa memang sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk mengekang kemalangan daripada terus bertambah dari semasa ke semasa. Namun, soal keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial. Usaha mensifarkan nahas jalan raya tidak kira sama ada sempena perayaan mahupun di luar musim perayaan bukanlah suatu perkara yang mustahil. Tegasnya, setiap pengguna haruslah mempunyai komitmen yang perlu ditunaikan setiap kali berada di jalan raya.
Sumber: Tn. Hj. Abd. Samad Buang