Pembuka Bicara

Bahan Komsas Antologi Harga Remaja

PANTUN EMPAT KERAT (JENAKA DAN SINDIRAN)

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal,
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap,
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut,
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu,
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan,
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan

Maksud Pantun
Rangkap 1:
Isteri yang cantik tidak dianggap sempurna jika dia tahu melakukan kerja-kerja dapur.

Rangkap 2:
Kitab selalunya dibaca oleh orang yang berpengetahuan. Oleh sebab itu, jika orang yang dianggap tidak berilmu menunjukkan kemahirannya, pihak lain pasti akan ketawa kerana tidak percaya.

Rangkap 3:
Orang yang pernah berkuasa tidak akan berbuat apa-apa kepada rakyat biasa apabila kuasanya telah hilang.

Rangkap 4:
Keupayaan seseorang yang biasanya dianggap hanya layak berada di bawah akan menimbulkan kebimbangan kepada orang atasan.

Rangkap 5:
Apabila orang bawahan mendapat kuasa dan berjaya menjatuhkan orang yang berada di tempat yang tinggi dan berpengaruh, tentulah akan menimbulkan kehairanan pada pandangan umum.

Tema
Menyampaikan sindiran untuk memberikan pengajaran kepada kita.

Persoalan
1. Kepentingan membuat kerja-kerja dapur bagi kaum wanita.
2. Sesuatu yang luar biasa itu akan membawa petanda buruk dan memberi kebimbangan kepada orang
yang melihatnya.
3. Kekuasaan yang tidak akan kekal kuasanya.
4. Keupayaan orang yang lazimnya dianggap lemah, tetapi mampu melakukan perkara yang
mengagumkan.

GAYA BAHASA
Anafora - Pengulangan di awal baris pada rangkap pertama. “kalau tidak memakai capal”

Imejan - “rotan saga”, “ikan”

Sinkope - “kalau tak pandai menumbuk sambal”

Repetisi - Apa guna berkain batik, kalau tidak memakai capal, apalah guna beristeri
cantik,kalau tak pandai menumbuk sambal

Jeda - Ambil segulung / rotan saga,
Suruh diambil / mari diurut,
Duduk termenung / harimau tua...

Bahasa Kiasan - Apalah guna beristeri cantik, kalau tak pandai menumbuk sambal menggambarkan
wanita itu tidak sempurna.

Asonasi - Hairan sekali hati saya. (Pengulangan vokal ‘a’)

Aliterasi - Ikan kering lagi ketawa (Pengulangan konsonan ‘k’)

NILAI-NILAI MURNI
1. Tanggungjawab - Seorang isteri perlu tahu untuk menguruskan hal rumah tangga.
2. Rasional - Kita perlu memikirkan sesuatu dari segi logik untuk mendapatkan kebenaran.
3. Nasihat-menasihati – Golongan wanita mestilah mahir dalam urusan masak memasak.
4. Merendah diri - Sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kemahiran kita perlulah dirujuk
kepada mereka yang lebih arif.
5. Keyakinan diri – Membuktikan kebolehan diri supaya tanggapan negatif orang lain terhadap
keupayaan kita dapat dihapuskan.

PENGAJARAN
1. Jika memilih bakal isteri, jangan hanya melihat paras rupa sahaja.
2. Kaum wanita hendaklah belajar tentang urusan-urusan di dapur.
3. Kita perlu sedar kuasa yang dimiliki tidak akan berkekalan selama-lamanya.
4. Kita mesti mengakui bahawa tiada sesuatu yang pelik jika sudah ditentukan Tuhan.
5. Seseorang itu perlulah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah.
6. Janganlah memperoleh kuasa melalui saluran yang salah.

Disediakan oleh arbl