Pembuka Bicara

Rumusan (Latihan)

a) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah membendung jenayah kanak-kanak dan sikap negatif ibu bapa terhadap anak masing-masing. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Anak-anak memerlukan ibu bapa sebagai tempat perlindungan daripada sebarang anasir dan ancaman negatif dari luar. Setiap ibu bapa mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka sama ada di rumah atau di luar rumah. Akan tetapi, amatlah mustahil dan sukar bagi ibu bapa untuk memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam. Ada ibu bapa yang sibuk dengan tugasan kerja dan ada juga yang lebih senang membiarkan anak mereka bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja. Namun, ada juga anak-anak yang merajuk dan berasa diri mereka dikongkong akibat perhatian berlebihan ibu bapa mereka. Kongkongan ini menyebabkan terjadi satu lagi fenomena yang membimbangkan iaitu lari dari rumah. Disebabkan kemustahilan untuk mengawasi anak-anak pada setiap masa, para ibu bapa dan penjaga perlu merangka strategi menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri dalam membuat keputusan walaupun tanpa ibu bapa di sisi.

Tindakan yang mudah ialah anak-anak hendaklah berteman ke mana sahaja mereka pergi. Penjenayah selalunya akan menyerang mangsa yang sedang berseorangan. Serigala tidak akan menangkap kambing yang meragut dalam kumpulan, tetapi akan menyerang kambing yang meragut bersendirian. Kanak-kanak malang, Nurin Jazlin hilang ketika dia berjalan seorang diri. Selain itu, ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling dan melaporkan kepada ibu bapa sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau ada orang yang memerhatikan mereka. Malahan, kanak-kanak perlu diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah. Mereka juga diingatkan agar tidak boleh mengikut seseorang yang tidak dikenali ke tempat-tempat yang tidak diketahui. Had bagi seorang yang tidak dikenali ialah setakat menegur dan bertanya soalan sahaja.

Selain itu, gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada. Teknologi paling murah dan mudah didapati ialah dengan membekalkan anak anda telefon bimbit. Melalui telefon bimbit ibu bapa boleh mengetahui tempat anak mereka berada. Jumlah penduduk di negara kita semakin bertambah dan ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah. Selain itu, strategi dan kaedah yang digunakan oleh penjenayah pada masa sekarang adalah lebih licik dan bijak. Ibu bapa pasti tidak mampu untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka sentiasa terjamin. Kaedah yang paling baik ialah mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka sendiri.

Oleh sebab banyak kejadian jenayah kanak-kanak di luar rumah, peranan masyarakat amatlah penting dalam membendung gejala ini daripada terus menular. Masyarakat perlu bersikap peka dengan bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak dianiaya oleh orang dewasa. Dengan kemajuan teknologi moden, kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis. Sikap enau dalam belukar yang pucuk masing-masing perlu dielakkan. Ingatlah, hari anak orang menjadi mangsa jenayah, hari-hari mendatang mungkin keluarga pula menjadi mangsa manusia yang bersikap zalim. Dalam era menuju kemajuan ini, kita tentu berasa sedih apabila kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus meningkatkan. Sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia memang sudah “sakit” menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Beri Kanak-kanak Kuasa”, oleh Raffaro Affandy Salim, Utusan Malaysia, 22 September 2007)




b) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan kerajaan untuk meningkatkan hasil pertanian dan kepentingannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sektor pengeluaran makanan pertanian kini diberi suntikan nafas baharu supaya sektor yang berpotensi tetapi agak ketinggalan dapat dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan baharu. Kaedah ini merupakan peluang bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai penggubal dasar dan agensi pelaksana untuk merangka satu pelan tindakan untuk memajukan sektor ini sebagai industri yang dinamik dan berdaya maju. Peluang ini akan diterjemahkan sebagai pelan tindakan yang akan dilaksanakan dalam perancangan pembangunan lima tahun yang dibukukan sebagai Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010). Perancangan ini akan menggariskan dasar dan hala tuju strategik baharu dan penyediaan program dan projek-projek khusus bagi menyokong dasar dan hala tuju tersebut selaras dengan usaha ke arah memartabatkan sektor pengeluaran makanan pertanian sebagai penjana pertumbuhan ekonomi negara.

Adakah bidang pertanian dan pemakanan negara kurang penting jika dibandingkan dengan bidang pertahanan dan keselamatan? Pekerja pertanian sejak dari awal pembabitan mereka dalam kerja-kerja di sawah tidak pernah menjalani sebarang latihan. Mereka mewarisi sahaja kerja orang tua yang terdahulu dan tidak ada badan yang mengambil peduli tentang tahap kebolehan dan kebajikan mereka. Petani hanyalah dianggap sebagai “kelas hamba” dalam masyarakat untuk menyediakan pemakanan negara; tetapi mereka tidak pernah dianggap sepenting anggota tentera yang menjaga keselamatan negara. Di Jepun umpamanya, petani yang menghasilkan padi dibayar imbuhan yang lumayan dalam bentuk subsidi pertanian sehingga empat kali ganda nilai hasil yang berjaya dikeluarkan. Di Amerika Syarikat pula, kerajaan mempertahankan keluasan kawasan dan menjaga kesuburan tanah-tanah pertanian.

Kerajaan mesti bersedia berbelanja besar untuk memberi imbuhan dan insentif kepada para petani agar mereka mengusahakan pertanian dalam skala besar. Kerajaan juga perlu menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka, selain membeli peralatan canggih yang diperlukan dalam perusahaan pertanian. Malahan hasil pertanian hendaklah diuruskan oleh kerajaan tanpa penglibatan orang tengah. Kita akui bahawa imbangan dagangan tahun 2004 menunjukkan imbangan defisit yang dicatatkan ialah RM6.6 bilion. Defisit tahun 2004 telah meningkatkan 53.4 peratus berbanding dengan defisit tahun 2003 sebanyak RM 4.3 bilion. Statistik awal imbangan dagangan bagi tempoh Januari – April 2005 menunjukkan negara telah mencatatkan defisit sebanyak RM2.6 bilion. Mengikut unjuran, imbangan dagangan sektor makanan dijangka akan meningkat kepada RM10.9 bilion pada tahun 2010 jika tiada campur tangan polisi dilaksanakan untuk membendung pola imbangan defisit yang kian meningkat ini.

Banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk membantu para petani bagi meningkatkan industri pertanian negara. Oleh itu, kerajaan juga mesti mengambil peranan langsung dalam mengawal penghasilan dan menentukan penyimpanan stok makanan sentiasa mencukupi untuk berhadapan dengan apa-apa sahaja kemungkinan sama ada perubahan cuaca atau konflik serantau yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan asas negara. Keadaan prasarana perlu dibaiki untuk memudahkan hasil pertanian dibawa keluar. Pada waktu yang sama, kita mengharapkan kerajaan menambah kawasan pertanian sebagai aset strategik negara, selain mempertahankan status tanah pertanian daripada ditukar kepada kegunaan lain. Usaha kerajaan Thailand menjadikan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi negara haruslah kita contohi.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Kepentingan Sektor Tani” oleh Zahari Man, Utusan Malaysia, 20 Mei 2008)




c) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang impak wujudnya semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat dan kekangan untuk melahirkan semangat tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kita tidak wajar berpuas hati dengan tahap semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kita. Jika wujud rasa cinta terhadap tanah air, sudah tentu sikap mementingkan diri sendiri tidak akan wujud lagi. Hal ini demikian kerana, rasa cinta terhadap negara menimbulkan rasa cinta terhadap masyarakatnya. Apabila wujud rasa cinta, sudah pasti kita akan menyayangi dan menghargai orang lain. Sikap suka berlumba motosikal secara haram sudah pasti tidak berlaku kerana perbuatan itu menyusahkan pengguna yang lain. Selain itu, kita tidak mungkin membuang sampah di merata-rata tempat kerana boleh mencemarkan imej negara, selain menimbulkan penyakit. Umum mengetahui semangat patriotik dapat memupuk budaya cinta negara, taat setia kepada raja dan nusa. Hal itu amat penting bagi mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyat. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berterusan bukan hanya pada hari perarakan sahaja.

Semangat patriotik dapat difahami sebagai semangat mencintai dan mempertahankan kedaulatan negara serta sebagai pembela agama, bangsa dan negara. Oleh itu, semangat berkenaan amat penting untuk mendidik hati dan jiwa anak bagi mengelakkan gejala negatif kalangan remaja. Mereka yang mempunyai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air akan sentiasa menjaga diri daripada menjadi alat pihak yang tidak bertanggungjawab. Melalui didikan semangat patriotik, dapat memperkukuh jati diri dalam kalangan masyarakat. Pendidikan semangat patriotik dapat dilakukan di rumah oleh ibu bapa dan diperkukuhkan oleh guru di sekolah. Ibu bapa boleh menceritakan kisah lampau zaman penjajahan dan di sekolah dimantapkan lagi melalui pelajaran Sejarah, Pendidikan Islam dan Moral. Guru boleh menanam semangat patriotik juga boleh disemai melalui pembacaan buku biografi tokoh pahlawan, perdana menteri dan negarawan tanah air.

Sesungguhnya, mereka yang mengamalkan nilai cinta akan negara, sentiasa sedar akan tanggungjawab kepada negara dan sedia memberi khidmat kepada tanah air. Malahan, golongan ini akan menjaga dan memelihara imej negara serta sentiasa bersikap positif dengan menyokong dan bekerjasama bagi menjayakan dasar pembangunan negara. Seterusnya tidak menjual rahsia negara walaupun diberikan tawaran yang lumayan. Muhammad Iqbal pernah berkata, “Patriotisme adalah berkat yang sepenuhnya bersifat fitrah dan mempunyai tempat dalam kehidupan moral manusia”. Semangat patriotisme yang mendalam ini menyebabkan bersedia bertugas di pedalaman yang masih belum dilengkapi kemudahan infrastruktur, selain sentiasa menghindari anasir negatif yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. E R Bulwer Lytton pernah menyatakan setiap orang harus mencintai dan bangga pada negaranya sendiri kerana ia tempat dia dilahirkan.

Dalam arus globalisasi, kita perlu menangkis sebarang bentuk ancaman terhadap bangsa dan negara yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi, dan sosial. Mereka yang dididik dengan semangat patriotisme yang tinggi akan sentiasa membuka minda dan fikiran bagi menghadapi saingan globalisasi dalam semua aspek. Untuk itu, kita harus bijak membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Sesungguhnya, dengan semangat patriotisme, sikap bertolak ansur dan bersatu mengukuhkan perpaduan serta menyelesaikan sendiri masalah dalaman negara adalah cara terbaik mengelakkan pihak lain yang cuba mencari peluang memecahbelahkan masyarakat kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Memperkasa Semangat Patriotisme Rakyat” oleh Aminuddin Mansor, Harian Metro, 27 Ogos 2008)